Hikmah Malam: Lidah yang Berdosa

Dari Abu Hurairah RA,  bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya seseorang hamba apabila mengucapkan sesuatu perkataan tanpa diteliti akan kebenarannya, akan membuatkannya terjerumus ke dalam neraka yang dalamnya sejauh antara jarak timur ke barat.” (Muttafaqun Alayhi, hadith riwayat Al-Bukhari, No. 6477, Muslim, No. 2988, Ahmad, No. 8567, lafaz hadith riwayat Muslim).

Pengajaran:

Bacaan Lainnya
banner 400x400

1. Lidah adalah suatu otot daripada anggota tubuh manusia yang ajaib. Dia akan mengeluarkan sesuatu perkataan ataupun ungkapan yang diucapkan oleh seseorang. Perkataan atau ucapan tersebut boleh menjadi satu kebenaran dan terkadang boleh menjadi satu pembohongan.

2. Rasulullah SAW telah mengingatkan agar setiap Muslim hendaklah senantiasa menjaga tuturnya. Sesuatu ucapan yang benar lagi memberikan kesan yang baik akan mendatangkan ganjaran pahala yang besar di sisi Allah SWT dan menjadi sebab seseorang dimasukkan ke dalam syurga. Namun adakalanya sekalipun ucapan yang benar tetapi dengan sebab tidak diselidiki adakah perkataan itu akan memberikan kesan yang baik ataupun buruk maka ia mungkin menjadi punca yang memasukkannya ke dalam neraka. Apa lagi jika sesuatu ucapan yang buruk seperti mengejek, memfitnah, mengaibkan orang lain, berbohong dan seumpamanya pasti akan menyebabkan kehancurannya dan itu adalah haram lagi berdosa.

3. Oleh itu, kita hendaklah menilai setiap perkataan yang akan diucapkan walaupun baik, adakah perlu? Adakah akan mendatangkan kebaikan? Adakah akan mendatangkan keburukan? Janganlah kerana keterlanjuran lidah, kita menjadi berdosa yang akan menjadikan neraka sebagai tempat pembalasan. وَنَعُوْذُ بِاللَّهِ مِنْهُ (kami memohon perlindungan Allah SWT daripadanya).

Sumber Rujukan :
1. Kitab Sahih al-Bukhari
2. Kitab Sahih Muslim
3. Kitab Musnad Ahmad
4. Kitab Fathul Bari Syarh Sahih al-Bukhari Li Ibn Hajar al-Asqolani
5. Kitab Mirqatul Mafatih Syarh Misykatul Masobih

 

Pos terkait

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *